SONY Norde antara import yang kekal menyarung jersi Melaka. FOTO Aswadi Alias
SONY Norde antara import yang kekal menyarung jersi Melaka. FOTO Aswadi Alias
Nazri Abu Bakar


Melaka: Tidak terdapat perubahan dalam barisan import skuad Melaka United (MU) pada jendela perpindahan pemain Liga Malaysia setakat ini.

Pengurus pasukan MU, Muhammad Akram Abdullah berkata, buat masa ini barisan pemain import kekal dan tiada perubahan dilakukan oleh pengurusan tertinggi kelab berkenaan.

Katanya, persembahan kesemua mereka juga berada pada tahap terbaik selepas dua kemenangan berturut-turut di pentas liga Super selain turut membantu pasukan mara ke suku akhir Piala FA.

Baginya, keserasian pemain termasuk Sony Norde, Olusegun Ifedayo, Adriano Narcizo, Justin Baas dan Emmanuel Oti diharap terus lebih mantap menjelang aksi liga di buka semula buat skuad berkenaan pada 18 Disember depan.

"Kini pasukan sedang menjalani latihan rapi serta bersusaha membentuk persefahaman yang lebih jitu selain memanfaatkan sepenuhnya sesi latihan sepanjang cuti rehat kalender antarabangsa bermula bulan lalu.

"Alhamdulillah, pasukan menjalani latihan dengan jadual padat selepas cuti Hari Raya Aidilfitri bulan lalu dan ia diharap bakal membuahkan hasil lumayan selepas aksi bermula kelak," katanya.

Menurutnya, kemungkinan beberapa pemain tempatan akan dibawa masuk ke dalam skuad berkenaan bagi memperkasa pasukan Hang Tuah.

Akram berkata, semuanya diserahkan kepada panel kejurulatihan pasukan dan pengurusan untuk menentukan keputusan akhir senarai berkenaan.

Apa yang penting penyertaan mereka akan memberi impak besar terhadap skuad berkenaan bersama senarai barisan yang ada.

Sementara itu, dia melihat ketiadaan Akmal Zahir yang menyertai pasukan Kedah Darul Aman (KDA) tetap dirasai skuad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 3:00 PM