MELAKA United menjalani sesi latihan. -FOTO MUFC
MELAKA United menjalani sesi latihan. -FOTO MUFC
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) bakal menurunkan barisan terkuat menjelang pertemuan berdepan PIB FC pada pusingan pertama Piala FA 2022 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, 31 Mac ini.

Pengurus pasukan Melaka, Muhammad Akram Abdullah berkata, skuadnya tidak memandang mudah cabaran barisan lawan walaupun diatas kertas Melaka tidak berdepan masalah melepasi halangan terbabit.

Katanya, tiada istilah menganggap lawan sebagai pasukan yang mudah untuk dilepasi kerana pelawat juga sudah bersedia mental dan fizikal untuk melakukan kejutan.

Justeru, sasaran pertama skuad Hang Tuah pastinya mahu menang dan layak ke pusingan kedua sambil jumlah jaringan gol tidak diambil kira.

"Jika menang dengan jaringan besar lebih baik kerana ia meningkatkan motivasi pemain dan momentum mereka menjelang aksi bertemu Sabah di pentas Liga Super.

"Bagaimanapun, kami mahu mara ke pusingan kedua terlebih dahulu, kerana kejayaan itu juga jelas menyuntik keyakinan pemain untuk melayan Sabah pada 5 April depan," katanya.

Akram berkata, pemain juga berada dalam prestasi amat memberangsangkan selepas semua kembali cergas sepenuhnya walaupun berdepan situasi luar jangkaan akibat positif Covid-19 sehingga pertemuan berdepan PIB FC terpaksa di tangguhkan.

Malah dia optimis skuad Hijau Putih bakal melakar sesuatu yang lebih efektif menerusi taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Risto Vidaković.

Dalam masa sama dia mahu barisan penyerang importnya terutama Ifedayo Olusegun, Emmanuel Oti Essigba, Sony Norde dan Adriano Narcizo bingkas menampilkan sentuhan sebenar dalam perlawanan terbabit.

Menurutnya, ia penting dalam memastikan bisa mereka dapat di tajamkan menjelang pertemuan berdepan Sabah di Paya Rumput selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 1:46 PM