HAMIDIN (kiri) menyampaikan amanat kepada pemain skuad B-23 negara yang akan beraksi di Piala Asia B-23, dalam pertemuan hari ini. FOTO ihsan FB FAM
HAMIDIN (kiri) menyampaikan amanat kepada pemain skuad B-23 negara yang akan beraksi di Piala Asia B-23, dalam pertemuan hari ini. FOTO ihsan FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak mahu kisah di Hanoi terus membayangi pemain skuad B-23, sebaliknya kembali bersedia dengan misi sebenar di Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan, bermula 1-19 Jun ini.

Hamidin yang mengadakan pertemuan dengan anak buah Brad Maloney, hari ini, turut menyuarakan keyakinan bahawa skuad muda negara mampu melakar keputusan baik andai mereka kekal fokus dan mempamerkan kesungguhan tinggi dalam perlawanan.

"Saingan Piala Asia B-23 adalah misi sebenar skuad muda negara ini selepas menggalas cabaran di Sukan Sea Hanoi.

"Jangan cepat berpuas hati, pemain kena berikan aksi lebih baik. Mereka perlu kekal fokus dan tidak perlu tertekan kerana kita sedar kejohanan pentas Asia ini lebih mencabar.

"Berdepan juara bertahan Korea Selatan dan dua pasukan musuh serantau Thailand serta Vietnam dalam saingan Kumpulan C bukan mudah, namun itu tidak bermakna kita tidak ada peluang.

"Jadi terpulang kepada pemain untuk menyahut cabaran ini. Saya berharap mereka akan berjuang habis-habisan hingga titisan keringat terakhir," katanya dalam amanat disampaikan dalam pertemuan itu.

Skuad Harimau Malaya B-23 akan berlepas ke Tashkent pada Ahad ini sebelum memulakan kempen Kumpulan C berdepan Korea Selatan pada 2 Jun diikuti Thailand (5 Jun) dan Vietnam (8 Jun).

Untuk rekod, pencapaian cemerlang negara dalam saingan itu adalah pada 2018 apabila skuad B-23 dibimbing Datuk Ong Kim Swee berjaya mara ke suku akhir sebelum tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 2:27 PM