SYAFIQ cemerlang bersama KDA FC sejak dipinjamkan JDT pada Disember lalu. FOTO KDA FC
SYAFIQ cemerlang bersama KDA FC sejak dipinjamkan JDT pada Disember lalu. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak mahu isu penamatan pinjaman pemain sayap Syafiq Ahmad dari Johor Darul Ta'zim (JDT) ke KDA FC seperti diumumkan hari ini menjadi penghalang usaha memperkukuhkan pasukan yang sedang dilakukan kini.

Sebaliknya, skuad Sang Kenari lebih reda sebaik menerima berita mengejutkan itu dan menganggapnya sebagai satu cabaran biasa dalam bola sepak yang harus dihadapi mana-mana pasukan lebih-lebih lagi menuju tempoh jendela perpindahan pemain pada hujung bulan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali, pihaknya mengesahkan sudah menerima surat rasmi daripada pihak JDT yang memaklumkan berita berkaitan penamatan pinjaman pemain berkenaan hari ini.

"Pihak KDA FC sudah menerima surat rasmi berkenaan dan perkara penamatan pinjaman ini memang sesuatu tidak kami duga di saat kami sedang menempuh dugaan berkaitan prestasi pasukan.

"Namun mengikut klausa ditetapkan, pihak KFA FC perlu menyerahkan pemain yang dipinjam kepada pasukan asal sebaik tamat pinjaman atau pada bila-bila masa sekiranya dikehendaki oleh pasukan asal.

"Jadi dalam menghadapi situasi ini, kami harus terus tabah menerima keadaan dan melihat ke depan bagi mencongak peluang baharu bagi menampung pemain yang akan kembali ke pasukan asal," katanya.

Khamal juga berkata KDA FC yang kehilangan Syafiq kini meilhat beberapa calon yang sesuai untuk diletakkan di bahagian serangan bagi memastikan kekuatan KDA FC tidak terkesan.

"Kami tidak mahu isu ini menambah kesukaran pasukan dan oleh itu saya serahkan kepada ketua jurulatih untuk membuat pilihan sewajarnya mendapatkan pemain bersesuaian.

"Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan semoga usaha kami seterusnya akan membuahkan kejayaan seperti semua pihak harapkan pada masa depan.

"InsyaAllah kami akan tetap berusaha dengan kemampuan yang ada bagi memastikan KDA FC mampu beri saingan bagi menempuh saingan Liga Malaysia musim ini dan juga Piala AFC yang akan bermula pada Jun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 6:12 PM