HAMIDIN (tengah) bergambar bersama skuad B-23. FOTO FAM
HAMIDIN (tengah) bergambar bersama skuad B-23. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Untuk merampas ibu segala pingat pada temasya Sukan Sea di Hanoi, Vietnam, skuad bawah 23 (B-23) tahun negara perlu berdepan keperitan dan tekanan termasuk kritikan peminat tempatan.

Itu amanat yang dikongsikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada skuad kendalian Brad Maloney yang sedang berjuang di saingan Sukan Sea ketika ini.

Jelas Hamidin, anak buah Maloney berkemampuan untuk menamatkan kemarau 11 tahun pingat emas dengan syarat kesemua pemain harus bersatu hati dalam menempuh apa jua halangan yang bakal ditempuhi.

Katanya, kejayaan skuad B-23 di temasya sama yang berlangsung di Jakarta pada 2011 lalu adalah disebabkan oleh penyatuan hati kesemua pemain dalam berdepan keperitan, sama ada di luar padang mahupun di dalam padang.

Pada waktu itu, skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berdepan insiden mencemaskan apabila terpaksa menaiki kenderaan perisai Barracuda ke stadium perlawanan bagi mengelak balingan objek keras daripada penyokong tuan rumah.

"Saya nyatakan pada pemain dan pegawai (skuad ketika ini di Hanoi), pada 2011 ketika saya menjadi Pengurus dan terakhir mendapat pingat emas di Jakarta dengan Datuk Ong Kim Swee, saya nyatakan pada pemain-pemain, untuk kita berjaya kita akan menghadapi keperitan.

"Maknanya kita di Indonesia dulu, menghadapi tekanan yang kuat dalam dan luar padang...dengan sabotaj daripada latihan dan sebagainya.

"Saya kira untuk mencapai kejayaan kita perlu menghadapi semua keperitan ini dan mungkin termasuk juga kritikan daripada peminat, tetapi pemain perlu fokus bahawa kejayaan (untuk menang pingat emas) ini bukan mudah.

"Jadi semua perjuangan perlu ada pengorbanan, dan pengorbanan itu mungkin dengan air mata, dengan darah kecederaan, atau dengan apa pun pengorbanan termasuk tinggalkan keluarga," katanya.

Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu skuad negara kendalian Maloney mengambil pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Saya rasa mereka pun memahami dan saya dah tegaskan kita ambik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Kita belum lagi ke separuh akhir, jadi pemain sudah diingatkan bagaimana perjuangan itu susah seperti 2011 di Indonesia dulu," katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan Sea pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Kim Swee.

Pencapaian terbaik skuad negara selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 1:54 PM