TEN Hag (kanan) berada di bawah tekanan berikutan prestasi tidak menentu United. FOTO Reuters
TEN Hag (kanan) berada di bawah tekanan berikutan prestasi tidak menentu United. FOTO Reuters
AFP

London: Erik ten Hag menggesa pengurusan tertinggi Manchester United untuk terus mempercayainya kerana rekod prestasi membuktikan beliau adalah orang yang tepat untuk membina semula kelab yang bermasalah itu.

Ten Hag dikritik ekoran permulaan musim yang bergelora bermula dengan harapan tinggi selepas bos Belanda itu membawa United memenangi trofi pertama mereka dalam tempoh enam tahun musim lalu.

Selepas memenangi Piala Liga, mereka mara ke final Piala FA dan menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun sekarang ini ia menjadi sebaliknya, tumpas 0-1 di Newcastle hujung minggu lalu adalah kekalahan ke-10 United dalam 21 perlawanan untuk semua pertandingan, menjadikan mereka ketinggalan lima mata daripada kedudukan kelompok empat teratas EPL.

United, yang menjadi tuan rumah kepada Chelsea awal pagi esok, juga berada dalam bahaya tersingkir daripada Liga Juara-Juara apabila mereka menentang Bayern Munich dalam perlawanan terakhir kumpulan minggu depan.

Menambah masalah Ten Hag, laporan muncul bahawa sebahagian daripada skuad United menjadi kecewa dengan sesi latihan yang sengit dan disiplin kerasnya.

United berang kerana tidak diberi hak untuk membalas laporan berkenaan.

Ten Hag tampil bergaduh ketika berdepan dengan media, menegaskan bahawa pemilik United, iaitu keluarga Glazer, betul untuk mendapatkannya tahun lalu.

"Akan ada masa sukar dalam setiap perjalanan. Kami berada di arah yang betul," katanya.

"Saya tahu kita akan sampai ke sana di mana kita mahu. Kerana...lihat rekod saya.

"Di mana-mana sahaja saya berada, setiap musim, saya mendapat sasaran saya, jadi jika kita kekal bersama, berpegang pada rancangan dan strategi, kita akan sampai ke tempat yang kita mahu."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 1:47 PM