KAPTEN Manchester United, Harry Maguire. FOTO AFP
KAPTEN Manchester United, Harry Maguire. FOTO AFP
Agensi

London: Polis Cheshire dan anjing pengesan dihantar ke rumah kapten Manchester United, Harry Maguire selepas dia menerima ancaman bom.

Maguire tinggal bersama tunang, Fern Hawkins serta dua anak perempuan mereka, tetapi kediaman mereka kini diselongkar polis selepas ancaman bom itu.

Satu emel dihantar menyatakan bom ditinggalkan di kawasan rumah pemain antarabangsa England itu.

Pemain itu sama seperti pemain bola sepak berprofil tinggi lain yang sering diancam dan dicemuh di media sosial, tetapi ancaman bom itu menyebabkan polis menanganinya dengan serius.

Ancaman itu hadir sehari selepas prestasi hambar United apabila dibelasah 0-4 oleh Liverpool di Anfield.

Menurut laporan The Sun, Maguire dan keluarganya meninggalkan kediaman itu dalam keadaan terkejut.

Bek tengah itu kerap dikritik berikutan prestasi hambar dan tidak sepadan dengan statusnya sebagai kapten kelab itu, dan perkembangan terbaru ini memerlukan polis bertindak.

Jurucakap kepada Maguire berkata: "Dalam tempoh 24 jam, Harry menerima ancaman serius kepada keluarganya di rumah. Dia melaporkan kepada polis yang kini menyiasat kes berkenaan.

"Keselamatan keluarga dan orang di sekelilingnya menjadi keutamaan Harry. Dia akan terus bersedia untuk perlawanan hujung minggu ini dan enggan mengulas buat masa ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 11:12 PM