FORESTIERI mengawal bola sambil dikejar pemain KL City. FOTO Bernama
FORESTIERI mengawal bola sambil dikejar pemain KL City. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Misi balas dendam Kuala Lumpur City FC tidak kesampaian apabila tunduk 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Jelas sekali beraksi di gelanggang sendiri gagal memberi kelebihan kepada skuad kendalian Bojan Hodak untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Super.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu lawan bagi mencari gol pembukaan.

Namun, ternyata nasib lebih memihak kepada pasukan pelawat apabila berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-18 hasil jaringan ayam tambatan mereka Fernando Forestieri.

Bersambung babak kedua menyaksikan Kuala Lumpur City diberi tekanan apabila pasukan pelawat lebih banyak mengatur serangan berbahaya bagi mencari gol kedua. Kuala Lumpur City FC terus tertekan apabila beraksi pada baki lebih setengah jam perlawanan dengan hanya 10 pemain selepas Kenny Pallraj dilayangkan kad merah akibat mengasari Velazquez pada minit ke-56.

Skuad Harimau Selatan akhirnya memadam sisa perjuangan KL City FC apabila Bergson menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-82 dan terus menambah derita Kuala Lumpur City FC menerusi gol keduanya di penghujung permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 12:07 AM