PRESIDEN Fifa, Gianni Infantino menunjukkan bola rasmi akan digunakan di Piala Dunia iaitu Al Rihla. FOTO AFP
PRESIDEN Fifa, Gianni Infantino menunjukkan bola rasmi akan digunakan di Piala Dunia iaitu Al Rihla. FOTO AFP
AFP

Doha: Undian Piala Dunia akan dilangsungkan di bangunan pencakar langit di Doha, hari ini, dengan fokus utama kepada bola sepak selepas beberapa isu di luar padang membayangi pemilihan tuan rumah kejohanan itu.

Ia adalah keputusan paling kontroversi dalam Piala Dunia selepas Qatar dinamakan sebagai tuan rumah pada 2010 dengan dakwaan membeli undi, selain persoalan mengenai kemampuan serta kesesuaian negara itu.

Pada ketika kumpulan pejuang hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan selepas peperangan di Ukraine, mustahil mengarahkan tumpuan sepenuhnya kepada sukan dan Presiden Fifa, Gianni Infantino terus menegaskan semalam, bahawa ia akan menjadi 'Piala Dunia hebat dan unik.'

"Kita tidak dapat menyaksikan Piala Dunia lain apabila semua lapan stadium berada pada jarak 50 kilometer, penonton boleh menyaksikan beberapa perlawanan dalam sehari dan pasukan tidak perlu berpindah lokasi," katanya menjelang Piala Dunia pertama yang akan dilangsungkan pada November dan Disember.

Ia berbeza dengan kejohanan lazimnya pada Jun serta Julai dan Fifa terpaksa meminda berikutan cuaca panas ketika itu di wilayah berkenaan dan kejohanan itu akhirnya menjanjikan keseronokan tersendiri.

Undian akan diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Doha, petang ini, dengan pemenang Piala Dunia seperti Cafu dan Lothar Matthaeus antara pembantu undian dan juara bertahan, Perancis akan berada dalam Pot Satu sebagai antara pasukan pilihan.

Ia akan membabitkan tujuh negara utama berdasarkan ranking Fifa selain kemunculan sulung Qatar, yang menduduki ranking ke-51, iaitu antara pasukan paling corot di Piala Dunia, tetapi mendapat hak sebagai tuan rumah.

Pasukan nombor satu dunia, Brazil, Belgium, Argentina, England, Sepanyol serta Portugal antara pasukan pilihan lain dan boleh memanfaatkan ketiadaan juara Eropah, Itali.

Ia bermakna Jerman, yang dikejutkan dengan penyingkiran di peringkat kumpulan di Piala Dunia 2018, muncul nama paling besar dalam Pot Dua, yang turut membabitkan Belanda dan naib juara empat tahun lalu, Croatia,.

Juara Afrika, Senegal, Jepun dan Poland antara pasukan dalam Pot Ketiga dan Kanada akan berada di Pot Empat selepas membuat kemunculan pertama sejak 1986.

Pada ketika penyokong 29 pasukan yang sudah layak tidak sabar menantikan undian, tiga lagi pasukan akan menentukan nasib bagi melengkapkan 32 pasukan bertanding, selepas 48 pasukan ke Piala Dunia pada 2026.

Serangan Rusia terhadap Ukraine turut memainkan peranan. Aksi separuh akhir penentuan kelayakan antara Ukraine dan Scotland ditangguhkan sehingga Jun dan pemenang perlawanan itu akan menentang Wales untuk ke Qatar.

Dua lagi perlawanan antara benua pada Jun membabitkan sama ada ada Australia atau Emeriah Arab Bersatu (UAE) menentang Peru dan Costa Rica berdepan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 11:21 AM