BARISAN pemain Peru meraikan kejayaan mereka menewaskan Paraguay. -FOTO EPA
BARISAN pemain Peru meraikan kejayaan mereka menewaskan Paraguay. -FOTO EPA
AFP

Montevideo: Peru menempah tempat dalam aksi playoff Piala Dunia dan akan menentang sama ada Australia atau Emiriah Arab Bersatu selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Paraguay semalam sekali gus mematahkan harapan Colombia dan Chile untuk layak ke pusingan akhir di Qatar.

Dengan Brazil, Argentina, Ecuador dan Uruguay sudahpun layak, tempat kelima menjadi rebutan dalam kumpulan 10 pasukan kelayakan Amerika Selatan.

Kedua-dua iaitu Colombia menang 1-0 ke atas Venezuela dan Chile tewas 0-2 kepada Uruguay masih berpeluang untuk layak ke Piala Dunia sekiranya Peru tewas.

Namun buat kali kedua berturut-turut dalam kempen kelayakan Piala Dunia, Peru perlu berdepan aksi playoff.

Kali terakhir mereka beraksi di play-off adalah selepas menewaskan New Zealand pada edisi kelayakan sebelum ini.

Gianluca Lapadula membuka jaringan pada minit kelima aksi di Lima dan Yoshimar Yotun menambah jaringan buat Peru pada minit ke-42.

Colombia hanya berbeza satu mata untuk merebut tempat ke playoff. Pada permulaan kempen mereka tampil cemerlang tetapi deretan tujuh perlawanan tanpa gol sebelum menang dua perlawanan terakhir meranapkan impian mereka untuk layak.

Chile bergelut sepanjang kempen kelayakan dan gagal ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Mereka perlu mengharapkan Peru dan Colombia tidak menang untuk berpeluang mara.

Jaringan Luis Suarez dan Federico Valverde melonjak Uruguay ke tangga ketiga kumpulan.

Brazil mencatat rekod baharu dalam kutipan mata kempen kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan selepas menewaskan Bolivia 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 12:09 PM