LUKAKU ledak gol pertama Chelsea. -FOTO AFP
LUKAKU ledak gol pertama Chelsea. -FOTO AFP
AFP

Middlesbrough: Thomas Tuchel memuji fokus yang dipamerkan pemain Chelsea apabila mereka mara ke separuh akhir Piala FA buat musim ketiga berturut-turut selepas Romelu Lukaku mencetus inspirasi kepada kemenangan 2-0 ke atas Liga Kejuaraan Middlesbrough awal pagi tadi.

Dalam aksi yang mungkin berlaku kejutan, skuad Tuchel tidak bermasalah apabila berjaya melakarkan kemenangan keenam berturut-turut sejak Roman Abramovich mengumumkan untuk menjual juara Eropah itu.

Penyerang Belgium, Lukaku membuka jaringan, gol keduanya dari tujuh perlawanan.

Hakim Ziyech meningkat kelebihan Chelsea sebelum rehat di Stadium Riverside.

Skuad Blues menamatkan terus aksi itu dengan persembahan minimun bagi memastikan tempat ke kelompok empat terakhir di Wembley pada April ketika mereka tampak akan ke final buat tahun ketiga berturut-turut.

Pengendali dari Jerman itu terus membuatkan pemain Chelsea fokus di sebalik semua masalah yang berlaku.

Chelsea yang berkedudukan ketiga dalam Liga Perdana serta mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, sudah menang 12 daripada 13 perlawanan terakhir kecuali penentuan final Piala Liga menentang Liverpool.

"Kami sangat fokus dan serius daripada awal. Kami mempamerkan kualiti pada saat-saat yang diperlukan dan menjaringkan dua gol awal untuk mendahului dengan selesa tapi usaha yang dipamerkan sangat besar dan tidak membenarkan peluang besar," kata Tuchel.

"Saya kagum dengan tumpuan pemain. Kami menerima situasi yang berlaku kerana bukan kami yang menyebabkannya. Ia bukan di tangan kami tapi yang penting kami menunjukkan semangat yang betul dan bertanggungjawab.

"Ini sangat bagus. Jika anda ada bakat, adalah satu tanggungjawab untuk menunjukkannya."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 8:04 AM