UNDIAN suku akhir Liga Juara-Juara musim ini yang menyaksikan penyandang juara, Bayern akan berdepan PSG. FOTO EPA
UNDIAN suku akhir Liga Juara-Juara musim ini yang menyaksikan penyandang juara, Bayern akan berdepan PSG. FOTO EPA
AFP

Paris: Penyandang juara, Bayern Munich akan berdepan naib juara musim lalu, Paris Saint Germain (PSG) di suku akhir Liga Juara-Juara, manakala undian yang dilakukan hari ini juga menyaksikan Liverpool bakal berentap dengan Real Madrid.

Undian berkenaan juga menyaksikan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City akan menentang Borussia Dortmund, manakala Chelsea pula perlu berdepan Porto.

Bayern mengalahkan PSG 1-0 dalam aksi tanpa penyokong di Lisbon Ogos lalu untuk meraih kejuaraan Eropah buat kali keenam dan kekal menjadi pasukan belum pernah kalah dengan mencatat 18 kemenangan dan sekali seri bagi 19 aksi terakhir Liga Juara-Juara sejak musim lalu.

Perlawanan pertama akan diadakan di Jerman pada 6 atau 7 April manakala aksi kedua di Paris seminggu kemudian.

Pertemuan pasukan bimbingan Jurgen Klopp dan Real mengulangi semula aksi akhir, di mana wakil Sepanyol itu mengalahkan The Reds 3-1 di Kiev pada 2018 untuk meraih kejuaraan kali ke-13.

Liverpool kembali bangkit untuk meraih trofi berkenaan buat kali keenam di Madrid pada 2019.

Pemenang di antara Liverpool dan Real akan mara ke separuh akhir untuk bertemu sama ada Chelsea atau Porto.

Liverpool pernah mengalahkan Chelsea di separuh akhir pada 2005 dan sekali lagi pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 8:10 PM