Pemain KL City meraikan kemenangan pada saingan Liga M.
Pemain KL City meraikan kemenangan pada saingan Liga M.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perbezaan ideologi politik menyaksikan juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City) menjadi mangsa keadaan dan ia terbukti apabila gaji pemain dan pegawai pasukan sangkut sejak dua bulan lalu.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad, beliau sanggup melepaskan jawatannya dalam persatuan itu demi kebaikan pasukan KL City.

Katanya, kegagalan pasukan menjelaskan gaji pemain adalah ekoran geran tahunan yang sepatutnya diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak disalurkan.

Ujarnya lagi, situasi itu mungkin disebabkan oleh kedudukannya daripada parti politik berlainan yang menyaksikan dana itu tergantung, sekali gus tidak boleh menjelaskan gaji pasukan.

"Kerana 50 peratus pegangan saham itu tidak muncul dan tanggungan kos sebanyak 50 peratus juga tidak berlaku.

"Syarikat ini pula diberikan Stadium Kuala Lumpur yang dipajak kepada mereka atas alasan ia merupakan syarikat yang menyokong KL City FC tetapi sebenarnya tidak.

"Soal jawatan presiden KLFA ini tidak penting kerana apa yang penting adalah pasukan bola sepak KL City ini dapat dimajukan dan dijayakan.

"Saya tidak mahu KLFA dijadikan tempat untuk berpolitik atas kepentingan individu atau kumpulan tertentu," katanya pada Kongres ke-33 KLFA, semalam.

Difahamkan, esok Khalid Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi mencari jalan penyelesaian.

Musim lalu, di bawah kepimpinan Khalid Samad dan Stanley, KL City berjaya menamatkan kemarau 32 tahun memenangi Piala Malaysia apabila berjaya menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 di perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 10:11 PM