Penyokong yang menyaksikan perlawanan bola sepak
Penyokong yang menyaksikan perlawanan bola sepak
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat.

Dalam ucapan itu, Ismail Sabri turut mengumumkan had kapasiti 50 peratus sebelum ini untuk aktiviti yang membabitkan perkumpulan ramai akan dimansuhkan secara menyeluruh tetapi penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam memberitahu SOP kemasukan penonton ke stadium masih kekal seperti biasa sebelum pindaan dilakukan sebaik menerima SOP terbaru daripada KBS.

"Saya sudah menghubungi KBS dan buat masa ini, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) masih menunggu SOP lengkap daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ketika ini, SOP kemasukan penonton ke stadium masih kekal seperti biasa sehingga MFL menerima pindaan terbaru daripada pihak kerajaan sebelum 1 April 2022 nanti," katanya.

Tambahnya, beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang kerjasama bersama MFL dalam penganjuran Liga Malaysia dalam tempoh pandemik ini.

Jelas Stuart, MFL dapat mengorak langkah dengan lebih jayanya dengan pengumuman yang dilakukan kerajaan dan beliau percaya Malaysia mampu menjana ekonomi dengan lebih baik sebaik peralihan fasa ke endemik bermula pada 1 April 2022.

"Saya bagi pihak Presiden MFL, Datuk Ab Ghani, Ahli Lembaga Pengarah MFL, kelab-kelab dan penyokong sentiasa menyokong keputusan kerajaan dan sudah pasti, MFL juga antara salah satu organisasi yang berusaha keras membantu ekonomi negara dan dalam masa yang sama, MFL juga bertindak untuk mengekang wabak ini merebak sepanjang penganjuran Liga Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak kerajaan di mana saya percaya pelan perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat ini bakal menjadi satu pembakar semangat terutama sektor sukan bola sepak pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 6:19 PM