PENYOKONG duduk dalam jarak yang ditetapkan mengikut SOP ketika menyaksikan aksi JDT menentang Melaka United kelmarin di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENYOKONG duduk dalam jarak yang ditetapkan mengikut SOP ketika menyaksikan aksi JDT menentang Melaka United kelmarin di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mahu semua pengurusan pasukan bersedia bagi menerima kemasukan penonton dengan memastikan tahap protokol pengurusan masuk dan pemeriksaan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilakukan di venue masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya menyambut baik 'lampu hijau' yang diberikan oleh pihak kerajaan apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan penonton dibenarkan untuk hadir mulai aksi Liga Malaysia (Liga M) bermula Selasa ini.

Katanya, semua pasukan harus melakukan persiapan terbaik sambil berharap kebenaran yang diberikan itu digunakan sebaiknya dan tidak merosakkan kepercayaan itu.

"Apa yang berlaku hari ini cukup penting kepada penganjuran liga di bawah MFL selepas sekian lama menanti kerana akhirnya peminat kembali ke stadium dengan protokol pengurusan yang terperinci dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Berdasarkan perkembangan positif menerusi pemantauan perlawanan projek perintis, semua perlawanan Liga Super dan Liga Perdana selepas ini dibenarkan untuk kemasukan penonton, bagaimanapun ia masih tertakluk kepada kelulusan MFL di mana setiap pasukan perlu menghantar dokumen kebenaran kemasukan penonton terlebih dahulu.

Kelmarin, Reezal mengakui berpuas hati dengan tahap protokol pengurusan yang dilakukan MFL selepas beliau hadir menyaksikan perlawanan projek perintis kemasukan penonton antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat lalu.

Malah, selain aksi antara JDT dan Melaka United, tahap pematuhan SOP tinggi juga ditunjukkan pada aksi Kuala Lumpur City dan Sabah FC yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, kelmarin.

Dalam dua-dua perlawanan perintis itu, penonton dibenarkan masuk ke dalam stadium bermula jam 6 petang sebelum pintu ditutup pada jam 8.30 malam.

Penyokong juga perlu mengikut SOP ketat sepanjang berada di dalam stadium seperti penjarakan sosial dan wajib memakai pelitup muka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 7:31 PM