Reezal Merican (kanan) menerima cenderahati daripada Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin selepas merasmikan majlis pelancaran Liga Malaysia 2021 hari ini. FOTO Bernama
Reezal Merican (kanan) menerima cenderahati daripada Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin selepas merasmikan majlis pelancaran Liga Malaysia 2021 hari ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) yang sendu sepanjang musim lalu ekoran pandemik Covid-19 kemungkinan bakal kembali meriah dengan kehadiran penyokong di stadium musim ini.

Namun untuk merealisasikan hasrat itu, perjalanan Liga M bakal 'diawasi' terutama dalam tempoh dua bulan pertama ini sebelum ia dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan kebenaran kemasukan penyokong.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kempen Liga M yang akan bermula pada Jumaat ini dengan aksi pembuka tirai Piala Sumbangsih membabitkan Johor Darul Ta'zim dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim bakal dijadikan penanda aras.

Malah, aksi-aksi berikutnya juga diharapkan dapat berlangsung dengan lancar tanpa wujudnya kes Covid-19 yang mungkin meranapkan impian peminat untuk ke stadium.

"Selepas dua bulan Liga M ini berlangsung, baru kita akan kemukakan cadangan kepada MKN dan KKM kemasukan penyokong. Kadang-kadang permohonan itu akan dibuat selepas liga berjalan dengan lancar," katanya pada majlis Pelancaran Liga M 2021, semalam.

Reezal yang hadir merasmikan Pelancaran Liga M 2021 itu turut percaya, dengan persiapan rapi pasukan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM, MKN dan MFL, Liga-M bakal menjanjikan sesuatu yang luar biasa.

"KKM dan MKN sudah memberikan kebenaran khas untuk Liga M dimulakan dan pasukan bola sepak dalam Liga MFL dapat memulakan latihan atas dua dasar pertimbangan iaitu kerajaan memahami keperluan dan kelangsungan hidup semua yang terbabit dalam ekosistem bola sepak.

"Dan kedua, atas kepercayaan mereka kepada disiplin komuniti sukan tanah air di mana keyakinan mereka kepada kita semua dalam industri bola sepak yang sangat berdisiplin dan pasti akan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Saya mempunyai harapan tinggi, MFL dan seluruh pemegang taruh akan berusaha keras untuk memastikan penganjuran liga ini menjadi penanda aras kepada pematuhan SOP dan pelaksanaan gelembung sukan.

Setiap seorang daripada kita mempunyai amanah dan peranan untuk memastikan Liga M selamat.

"Saya sentiasa yakin dengan 'Track Record' penganjuran yang baik, MFL memiliki kemampuan untuk menganjurkan liga yang kompetitif dan terbaik demi memenuhi kepuasan penyokong tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 8:31 PM