KEPA Arrizabalaga gagal menyempurnakan penalti. -FOTO Reuters
KEPA Arrizabalaga gagal menyempurnakan penalti. -FOTO Reuters
Agensi

London: Pengurus Chelsea Thomas Tuchel bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan pasukannya di final Piala Liga kepada Liverpool selepas memutuskan membawa masuk Kepa Arrizabalaga untuk penentuan sepakan penalti.

Perlawanan tamat tanpa sebarang gol selepas 120 minit, biarpun kedua-dua pasukan meledakkan gol namun tidak diiktiraf kerana ofsaid di Wembley.

Tuchel membawa masuk Kepa pada minit terakhir namun penjaga gol Sepanyol itu tidak dapat menghalang 11 penalti Liverpool dan sepakannya sendiri terlepas palang gol.

Pasukan itu mempunyai peluang untuk mendahului perlawanan sebelum penentuan penalti menerusi jaringan Romelu Lukaku dan Kai Havertz namun dibatalkan kerana ofsaid manakala jaringan Joel Matip untuk Liverpool juga tidak diterima.

Sebelum perlawanan, penasihat teknikal Chelsea Petr Cech mengatakan sukar untuk membuat keputusan tidak meletakkan Kepa dalam kesebelasan utama.

"Kami mempunyai penjaga gol terbaik, kedua-dua mereka beraksi di peringkat tertinggi musim ini.

"Ia menyukarkan pemilihan. Begitu juga pemain yang lain, 25 pemain dalam pasukan ini namun hanya 11 pemain akan beraksi.

"Kami memilih Edou kerana dia penjaga gol nombor satu kami. Dia datang ke sini berlatih dan cergas. Saya fikir ia keputusan yang sukar untuk dibuat tapi dia adalah nombor satu dan dia dipilih.

"Sudah tentu kami berasa sedih untuknya (Kepa). Dia adalah pemain yang satu-satunya terlepas penalti tapi dia tidak boleh dipersalahkan.

"Saya yang buat keputusan apabila saya perlu melakukannya dan saya tidak boleh menilai mereka selepas saya tahu keputusannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 8:37 AM