ARIF mahu buka 'buku baharu' musim depan. -FOTO TFC
ARIF mahu buka 'buku baharu' musim depan. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas diketepikan daripada kem pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan, Muhammad Arif Mohamed Anwar tekad untuk membuka 'buku baharu' bersama pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Walaupun kini belum mendapat pengesahan secara rasmi lagi pasukan yang bakal diwakilinya, namun penyerang kelahiran Gombak, Selangor itu tetap percaya rezeki akan ada biarpun tidak bersama dengan pasukan yang besar.

Musim ini pemain berusia 27 tahun itu yang mula menyarung jersi skuad Penyu sejak 2021 kerap memanaskan bangku simpanan kerana terpaksa bersaing dengan pemain import sekali gus menyaksikan kelibat dia tenggelam.

"Saya akui musim 2022 boleh disifatkan tahun yang suram kerana lebih banyak memanaskan bangku simpanan daripada beraksi kerana perlu bersaing dengan pemain lain termasuk tonggak import.

"Musim lalu juga begitu, saya terpaksa bergelut dengan kecederaan lutut sehingga memaksa saya berehat lebih lama walaupun semangat sentiasa berkobar-kobar untuk beraksi.

"Saya tidak mahu menyalahkan siapa-siapa kerana inilah bola sepak, kita perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan tempat, saya tekad jika diberi peluang membarisi skuad utama musim depan dengan mana-mana pasukan, saya mahu bangkit kembali.

"Selain itu saya mahu menaikkan pasukan yang bakal diwakili lebih-lebih lagi persaingan Liga Super musim depan begitu mencabar kerana lebih banyak pasukan sekali gus perlawanan bertambah," katanya ketika dihubungi.

Pemain yang memulakan kariernya bersama pasukan Harimau Muda B pada 2015 itu turut berazam untuk kembali bergelar penjaring gol sebagaimana aksinya ketika menyarung jersi pasukan UiTM FC sebelum ini.

Selain UiTM FC dan TFC, bekas pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu pernah menyarung jersi pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Petaling Jaya Rangers.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 1:23 PM