STADIUM Sultan Ibrahim akan menjadi venue untuk Kumpulan I. FOTO Nur Aisyah Mazalan
STADIUM Sultan Ibrahim akan menjadi venue untuk Kumpulan I. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) berpelung melakar kejutan di halaman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini selepas diumumkan sebagai tuan rumah bagi Kumpulan I.

Pengumuman itu dibuat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini dengan juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu akan bersaing dengan tiga kelab handalan iaitu juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale, Guangzhou FC (China) dan satu lagi pasukan akan ditentukan melalui slot playoff sama ada Ulsan Hyundai (Korea Selatan) atau Port FC (Thailand).

Kempen ACL itu akan dijalankan secara venue berpusat bagi membendung penularan wabak Covid-19 sekali gus berpotensi menyaksikan Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi saksi kejutan daripada anak buah Benjamin Mora itu.

Sorakan dan sokongan padu penyokong JDT bakal memberi tonik tambahan buat tuan rumah untuk beraksi lebih bertenaga apabila aksi itu berlangsung dari 15 April hingga 1 Mei ini.

Malah, skuad Harimau Selatan sendiri tampaknya teruja menyambut kehadiran tiga pencabar dalam Kumpulan I itu nanti.

"Selamat datang ke Johor Bahru!," tulis wakil negara itu di laman sosial rasmi kelab di Johor Southern Tigers.

Untuk rekod, ini adalah kali keempat JDT bersaing di ACL dengan beberapa keputusan positif diraih setiap kali bermain di halaman sendiri.

Paling mencuri tumpuan adalah kemenangan mengejut ke atas Kashima Antlers dari Jepun dengan 1-0 selain turut menewaskan juara Piala FA Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings 2-1.

Sementara itu, Thailand diumumkan tuan rumah untuk Kumpulan F, G dan J serta Vietnam untuk Kumpulan H.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 4:48 PM