Bekas pertahanan skuad Projek FAM-MSN, Muhammad Safwan Mazlan tekad membalas kepercayaan jurulatih TFC II musim ini. FOTO Ihsan Sportflex
Bekas pertahanan skuad Projek FAM-MSN, Muhammad Safwan Mazlan tekad membalas kepercayaan jurulatih TFC II musim ini. FOTO Ihsan Sportflex
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas pemain skuad Projek FAM-MSN, Muhammad Safwan Mazlan, tekad mahu membalas kepercayaan dan memikat hati pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrol Afzan Razali selepas tersenarai bersama skuad itu musim ini.

'Ubi muda' berusia 20 tahun kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus itu adalah antara muka baharu skuad The Turtles itu dalam mengharungi kancah Liga Perdana dan Piala Cabaran musim ini.

Bagaimanapun pemain berketinggian 1.80 meter yang boleh beraksi di posisi pertahanan kiri, kanan dan tengah itu akui cabaran sengit bakal menantinya terutama apabila perlu bersaing dengan pemain senior yang lebih berpengalaman untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Namun anak seorang nelayan itu menegaskan dia tidak rela melepaskan peluang keemasan beraksi bersama skuad itu sekali gus mengintai peluang beraksi dengan skuad utama suatu hari nanti.

"Selain TFC II, saya juga turut mendapat tawaran daripada pasukan Perak FC musim ini, namun keinginan tinggi untuk membantu pasukan negeri kelahiran membuatkan saya menolak tawaran daripada pasukan Utara itu.

"Selain itu, keinginan tinggi untuk meningkat lagi kualiti permainan dan seterusnya mengintai peluang beraksi bersama skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) membuatkan saya memilih untuk berguru dengan barisan kejurulatihan skuad itu.

"Azam saya sudah pasti untuk membawa pasukan memperbaiki kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Perdana berbanding musim lalu selain mengintai kejuaraan dalam saingan Piala Cabaran musim ini," katanya ketika dihubungi.

Musim lalu, bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Rakit, Kuala Nerus dan Sekolah Sukan Bukit Nenas Terengganu itu meledak dua gol bersama skuad Projek FAM-MSN kendalian Yusri Che Lah.

Malah anak ketiga daripada empat adik-beradik itu adalah tonggak utama pasukannya yang menyaksikan dia bermain hampir semua perlawanan dalam pentas Liga Perdana musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 4:40 PM