TCHETCHE (kiri) dan Sherman beraksi untuk TFC musim depan.
TCHETCHE (kiri) dan Sherman beraksi untuk TFC musim depan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan boleh dikatakan agak suram tanpa sebarang kejutan apabila urusan jual beli pemain import ketika ini dilihat hanyalah membabitkan individu sama saja.

Situasi terbabit bukan hanya membabitkan pasukan kerdil, malah turut menjangkiti kelab bertaraf gergasi dengan mereka lebih berminat mengambil awang import kitar semula daripada menggajikan individu baharu untuk mengisi kesebelasan utama.

Pengarah Urusan Action Football Asia Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah ketika dihubungi Arena Metro berkata, setakat ini tiada lagi pemain import berprofil tinggi dibawa masuk oleh kelab Liga M untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

Beliau berkata, situasi berkenaan berlaku mungkin disebabkan pengurusan kelab tidak mempunyai peruntukan besar selain bimbang tersalah langkah mengambil pemain import kurang 'menjadi' namun perlu membayar mereka dengan harga tinggi.

Berikutan itu, katanya, tiada elemen kejutan ditampilkan pada musim depan sekali gus penyokong bola sepak tanah air akan melihat corak permainan sama dan kurang menarik.

"Saya lihat tiada pemain berprofil tinggi diambil oleh pasukan Liga M kerana kebanyakan mereka lebih berminat menggunakan individu sama. "Berdasarkan pergerakan pemain sekarang ini boleh dikatakan tiada beza berbanding musim lalu cuma pemain import terbabit menukar pasukan saja. "Kadangkala, kedatangan pemain baharu ini akan mempamerkan corak permainan lebih menarik sekali gus mampu membantu pasukan meraih keputusan positif," katanya.

Antara awang import kitar semula ialah bekas penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang akan beraksi untuk Terengganu FC (TFC) pada musim depan.

Selain itu, KDA FC pula menyambar tonggak tengah TFC kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel untuk menguatkan pasukan terbabit kelak.

Bekas pemain Melaka United, Jang Suk-won pula akan beraksi untuk skuad Helang Merah pada musim depan sekali gus tiada faktor kejutan dalam barisan awang import KDA FC.
Sementara itu, Effendi berkata, jika ada kejutan nanti mungkin hanya membabitkan juara lapan kali Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan membawa pemain berprofil tinggi untuk mengguatkan pasukan mereka.

"Kebiasaannya JDT tidak akan mengambil pemain import yang beraksi dalam Liga Super kerana mereka lebih berminat membawa masuk individu baharu sekali gus mampu memberi impak positif kepada pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 9:36 PM