AKHYAR antara pemain yang positif Covid-19. FOTO AFF
AKHYAR antara pemain yang positif Covid-19. FOTO AFF
Firdaus Hashim


Singapura: Jawatankuasa Penganjuran Piala AFF edisi ke-13 di sini mengesahkan sehingga kini terdapat lima kes positif Covid-19.

Daripada lima kes terbabit, empat daripadanya dari skuad Harimau Malaya manakala satu lagi pasukan Kemboja.

Menurut laporan media tempatan di sini, pihak penganjur sentiasa memantau situasi semasa dan tidak menolak kemungkinan akan mengetatkan lagi pergerakan pemain dan pegawai bagi mengelak daripada dijangkiti Covid-19.

"AFF dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tertentu mengenai langkah yang sesuai, termasuk peraturan yang lebih ketat, sekiranya terdapat peningkatan dalam bilangan kes," kata laporan dari sumber rapat penganjur tempatan.

Namun, dalam kalangan kes positif itu, tiada varian Omicron yang dilaporkan sehingga kini.

"Kami sedang memantau individu-individu ini dan keadaan mereka setiap hari... sehingga kini tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa kes (Covid-19) yang aktif adalah kes varian Omicron," katanya.

Bagi kes positif dari pasukan Kemboja, tidak dapat dipastikan siapakah individu yang dijangkiti namun berdasarkan ujian calit sememangnya terdapat satu kes dalam pasukan itu.

Sumber itu juga memberitahu bahawa seorang pemain Myanmar juga ditempatkan dalam pengasingan sebelum ini, tetapi individu itu kini bebas untuk berlatih dan beraksi dalam perlawanan.

"Seorang pemain Myanmar juga sebelum ini ditempatkan dalam pengasingan tetapi keputusannya (bagi Covid-19) dipadamkan pada 6 Disember kerana ia adalah positif palsu."

Terdahulu, empat pemain Malaysia disahkan positif bermula dengan penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan tonggak sayap, Faisal Halim sebelum dua lagi menyusul, iaitu Akhyar Rashid dan Quentin Cheng.

Pemain yang didapati positif perlu menjalani proses pengasingan di bilik hotel masing-masing sehingga diuji negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 5:55 PM