BENITEZ percaya tidak ada sebab mengapa Everton tidak boleh bangkit. FOTO EPA
BENITEZ percaya tidak ada sebab mengapa Everton tidak boleh bangkit. FOTO EPA
AFP

Liverpool: Pengurus Everton, Rafael Benitez menggesa kelab Merseyside itu mengikut jejak rakan sejawatnya di Arsenal, Mikel Arteta apabila kekalahan di tangan Liverpool membuatkan suasana di Goodison Park menjadi semakin suram.

The Toffees yang memulakan musim dengan cemerlang di bawah bos baharu Benitez, kini belum merakam kemenangan dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk kekalahan 1-4 Rabu lalu iaitu pencapaian terburuk sejak tahun 1999.

Everton kini di tangga ke-14 liga, hanya lima mata di atas zon penyingkiran dan mereka akan berdepan Arsenal di Goodison Park Isnin ini.

Arsenal memulakan musim dengan tiga kekalahan berturut-turut, termasuk dikejutkan pendatang baharu EPL Brentford dan hanya keluar dari kelompok bawah liga pada hujung Oktober.

Sekarang mereka berada di tangga kelima, satu mata di belakang West Ham selepas hanya tewas dua kali dalam 11 perlawanan terakhir liga.

Benitez, yang juga bekas pengendali Liverpool, percaya tidak ada sebab mengapa Everton tidak boleh bangkit, sekiranya diberikan masa dan peluang untuk mengatasi krisis kecederaan sekali gus mengulangi prestasi di mana mereka berjaya mengutip 13 mata dalam enam perlawanan pertama.

"Saya rasa beliau (Arteta) melakukannya dengan baik dan contoh bagi pengendali baharu di kelab baharu yang tertekan sejak awal tahun lalu, sejak awal musim ini.

"Beliau memerlukan masa dan mereka memberikannya masa. Kini beliau mula menuai hasilnya.

"Sedikit demi sedikit beliau terus bekerja dengan caranya tersendiri dan pasukan kini semakin baik. Mereka juga membelanjakan wang dan menandatangani pemain-pemain hebat," kata Benitez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 9:37 AM