Mauricio Pochettino (kiri) memberi arahan kepada pemain. FOTO Agensi
Mauricio Pochettino (kiri) memberi arahan kepada pemain. FOTO Agensi
AFP

Manchester, United Kingdom: Mauricio Pochettino menjelaskan dia gembira untuk menamatkan kontraknya hingga 2023 di Paris Saint-Germain walaupun timbul spekulasi mengaitkan dirinya dengan jawatan pengurus di Manchester United.

Pengendali dari Argentina itu sudah sekian lama dikaitkan dengan tugas di Old Trafford.

Ia susulan kejayaannya membimbing pasukan dengan belanja rendah diberikan kepadanya selama enam musim dalam Liga Perdana di Southampton dan Tottenham.

United memecat Solskjaer, Ahad lalu, selepas hanya menang sekali dalam tujuh aksi Liga Perdana namun menegaskan mereka mahu menanti hingga penghujung musim sebelum menamakan pengganti.

Ia tampak membuka pintu buat perpindahan Pochettino, yang masih berada di landasan tepat untuk menang gelaran liga pertama sepanjang karier kejurulatihannya apabila mencipta jurang 11 mata di Ligue 1.

Malah dia berazam membawa kelab dimiliki Qatar itu memenangi Liga Juara-Juara selepas diperkuatkan bintang penyerang diketuai Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar.

Pochettino berada di Manchester minggu ini tetapi akan ke Manchester City apabila PSG memburu tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara jika menang di Etihad.

"Kontrak saya hingga 2023, musim ini dan satu musim lagi. Saya tidak berkata sesuatu yang berbeza, saya gembira di PSG, itulah sebenarnya, ia bukan perkara untuk difikirkan. Saya gembira di Paris," kata Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 11:52 AM