SOLSKJAER mahu tinggalkan kenangan indah bersama United. FOTO EPA
SOLSKJAER mahu tinggalkan kenangan indah bersama United. FOTO EPA
AFP

Gdansk: Ole Gunnar Solskjaer akan cuba memenangi trofi pertama sebagai pengurus Manchester United apabila mereka berdepan Villarreal untuk saingan akhir Liga Europa Khamis ini.

Beliau yakin kemenangan akan dapat menambah satu lagi kejayaan yang sudah dikumpul di Old Trafford.

Pengendali dari Norway berusia 48 tahun itu akan sentiasa dikenang di atas gol lewatnya ketika mengalahkan Bayern Munich pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 1999 dan Solskjaer tidak sabar untuk terus melakar kejayaan dengan kelab yang kaya dengan sejarah.

Sebaik membantu United mengesahkan tempat dalam kedudukan empat terbaik buat kali pertama sejak Alex Ferguson bersara selepas meraih gelaran liga buat kali terakhir pada 2013, Solskjaer sekarang berharap dapat menamatkan penantian empat tahun tidak meraih sebarang trofi di Gdansk.

"Anda akan sentiasa berasa tertekan untuk memenangi trofi di Manchester United. Kemajuan dalam saingan liga menunjukkan peningkatan. Langkah seterusnya adalah memenangi trofi dan memberi cabaran dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Memenangi trofi akan memberikan anda kepercayaan namun ia akan membuatkan anda lebih dahagakan kejayaan. Apabila anda memenangi trofi anda akan mahu lagi, anda mahu rasa lagi kenikmatan sekali lagi.

"Saya tahu pemain saya sentiasa yakin mereka akan memenanginya dan kami boleh bergerak untuk misi seterusnya. Bagaimanapun, selepas anda rasai kenikmatan pertama, ia adalah langkah pertama untuk ke arah yang betul," katanya.

Empat separuh akhir pertama Solskjaer sebagai pengurus United berakhir dengan kekalahan, termasuk tumpas 1-2 kepada Sevilla musim lalu dalam saingan Liga Europa.

United tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini walaupun memenangi tiga daripada empat perlawanan pertama, sekali gus memberikan tekanan kepada Solskjaer sehingga mewujudkan khabar angin Mauricio Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 11:27 AM