SOLSKJAER (kiri) tahu bila sepatutnya Ronaldo perlu diturunkan. FOTO EPA
SOLSKJAER (kiri) tahu bila sepatutnya Ronaldo perlu diturunkan. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, beliau tidak tertekan untuk membuat keputusan berhubung Cristiano Ronaldo jika dia beranggapan pemain bintang Portugal itu sepatutnya diketepikan.

Solskjaer mencetuskan kemarahan apabila dia meletakkan Ronaldo di bangku simpanan ketika United mencatatkan keputusan seri menentang Everton dalam aksi terakhir sebelum rehat perlawanan antarabangsa.

Pemain berusia 36 tahun itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua namun United tetap gagal meraih mata penuh.

Keputusan mengejut itu ternyata membuatkan Ronaldo kelihatan geram selepas dia menggelengkan kepala dan mengomel kepada diri sendiri ketika berjalan keluar padang selepas aksi tamat.

Bekas pengurus United, Alex Ferguson mengkritik keputusan Solskjaer dengan mengatakan setiap pasukan harus membariskan pemain terbaik yang mereka ada.

Solskjaer segera memberi reaksi mengenai kualiti dimiliki Ronaldo apabila ditanya mengenai penyerang itu awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Norway itu tetap berkeras mengenai keputusannya tidak menyenaraikan Ronaldo jika beliau merasakan ia adalah tepat untuk pasukan.

"Saya pengurus, saya menguruskan pemain. Saya menguruskan kelab namun sudah tentu kita berasa senang hati jika melihatnya beraksi di atas padang, kerana dia sentiasa memberikan yang terbaik dan lebih banyak kita menggunakan khidmatnya, kita akan menjadi lebih bagus.

"Dia pemain yang luar biasa, mempunyai penyudah yang luar biasa, dan pencetak gol, dan sikap profesionalnya sangat luar biasa. Sukar untuk mengetepikannya," kata Solskjaer.

Dengan lima gol dalam enam perlawanan sejak kembali ke United dari Juventus pada bulan Ogos, Ronaldo dengan cepat membuktikan dirinya sebagai tonggak penting ketika mereka memburu trofi pertama sejak 2017.

Solskjaer juga dipersoalkan ketika beliau mengeluarkan Ronaldo ketika United kalah dalam perlawanan Liga Juara-Juara kepada Young Boys bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 9:12 AM