Sathianathan ingatkan netizen berpijak di bumi nyata. -FOTO NSTP
Sathianathan ingatkan netizen berpijak di bumi nyata. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Warga netizen diingatkan supaya tidak mengkritik skuad Harimau Malaya secara membuta tuli sekiranya keputusan aksi berdepan Jordan tidak memihak pasukan negara Rabu ini.

Jelas Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, semua pihak terutamanya netizen harus berpijak di bumi nyata atau lebih realistik melihat peluang skuad negara pada aksi persahabatan antarabangsa itu.

Katanya, jurang antara pasukan negara dan Jordan cukup jauh dan beliau berharap ia tidak dijadikan modal buat menghentam pemain negara yang akhirnya menjatuhkan moral dan motivasi pasukan.

"Bila pemain tewas di UAE (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu) dulu, netizen hentam jurulatih (Tan Cheng Hoe) kata tak ambil pemain yang ada minit permainan dan tak ambil dari Terengganu lah, Selangor lah dan Penang lah.

"Sekarang jurulatih dah bawa pemain yang ada minit dalam pasukan dan ramai pemain baharu dan muda. Jadi kalau keputusan tak berpihak kepada pasukan negara, janganlah nak hentam pasukan pula.

"Netizen ini sebenarnya tak faham, bila kita mengendalikan pasukan, jurulatih memang dah ada pemain yang berada dalam perancangannya mengikut taktikal jurulatih itu.

"Kalau nak tukar pun sikit-sikit saja, tapi bila netizen banyak cakap macam tahu semua…jadi jurulatih dah tukar dan kalau mereka tak boleh main janganlah kutuk mereka.

"Dulu kalau pemain nak baca apa-apa guna surat khabar, tapi sekarang dah ada media sosial. Jadi kalau kutuk terlebih-lebih hingga tak ingat dunia, pemain boleh 'koyak' dan hilang semangat.

"Saya bagi contoh pasukan Belgium. Mereka pun sejak 10 tahun lalu guna pemain-pemain yang muka sama sahaja dan kalau tukar pun seorang dua saja. Kalau ikutkan ranking dunia lah kan, Belgium nombor satu…jadi patutnya merekalah jadi juara Eropah (Piala Eropah) bukannya Itali," katanya yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya dari 2007-2009.

Skuad negara yang kini berada di Amman, Jordan bakal mengharungi dua aksi persahabatan Tier 1 menentang tuan rumah Rabu ini dan Uzbekistan Sabtu ini.

Ia sebagai persediaan terbaik bagi menghadapi dua kejohanan penting iaitu Piala AFF Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari depan.

Ujar Sathianathan lagi, peluang untuk skuad negara meraih sesuatu dalam dua aksi itu sememangnya sukar namun beliau beranggapan ia adalah medan terbaik buat Cheng Hoe menguji anak didiknya.

"Bagi seorang jurulatih kalau nak bina satu pasukan dan menyasarkan sesuatu di pertandingan utama seperti Piala AFF, inilah masanya untuk beliau menguji pemain.

"Bagi saya, untuk seseorang bermain yang dipanggil seharusnya mereka sudah bersedia untuk beraksi di peringkat antarabangsa. Di sinilah, Cheng Hoe akan menilai pemain baru dan muda nanti, serta inilah peluang keemasan untuk pemain tunjukkan kebolehan mereka," katanya.

Berdasarkan rekod, Malaysia seri dan tewas dua kali dalam empat pertemuan menentang Jordan dengan terbaharu skuad Cheng Hoe itu tumpas 0-1 pada aksi persahabatan pada Ogos 2019 dan skuad negara juga tidak pernah mencatat sebarang kemenangan sepanjang enam pertembungan dengan Uzbekistan.

Ends….

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 2:04 PM