DARREN Lok penyelamat pasukan PJ City.
DARREN Lok penyelamat pasukan PJ City.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan PJ City FC gagal manfaat peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 bertemu Sabah FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Jelas sekali Sabah FC yang mendapat suntikan ketua jurulatih baharu iaitu Datuk Ong Kim Swee beraksi begitu konsisten sekali gus berjaya mencuri sekurangnya satu mata untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukan pelawat lebih banyak menguasai perlawanan dengan mengatur serangan bertali arus ke kubu lawan.

Gol yang dicari mereka akhirnya menjelma pada minit 20 menerusi sepakan percuma Taesu Park yang berjaya menewaskan penjaga gol PJ City FC Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Ketinggalan 0-1, skuad kendalian P Maniam memperkemaskan jentera serangan dengan menukar strategi bagi mencari gol penyamaan pada babak kedua.

Ternyata percaturan itu membuahkan hasil apabila pemain kacukan Darren Lok membuktikan dia cukup berbisa dengan meledak gol penyamaan pada minit 79.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi mata pada perlawanan pertama saingan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 11:27 PM