SALAH (kiri) dan Mane antara lima calon  tersenarai merebut Anugerah Pemain Terbaik Afrika BBC.
SALAH (kiri) dan Mane antara lima calon tersenarai merebut Anugerah Pemain Terbaik Afrika BBC.
AFP

LONDON: Dua pemain bintang Liverpool, Sadio Mane dan Mohamed Salah antara lima calon yang disenaraikan bagi merebut Anugerah Pemain Terbaik Afrika BBC tahun ini.

Prestasi cemerlang Mane bersama Liverpool dibawa ke pentas antarabangsa apabila pemain sayap lincah itu membantu Senegal layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2002.

Pemain sayap Mesir, Salah juga turut menyerlah bersama kelab gergasi Inggeris itu dan skuad kebangsaan.

Salah meledak 12 gol musim ini untuk Liverpool selepas berpindah dari Roma dan sepakan penaltinya menyaksikan Mesir mara ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990.

Pemain pertahanan Chelsea dari Nigeria, Victor Moses, Penyerang Borussia Dortmund dari Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang dan pemain tengah RB Leipzig dari Guinea, Naby Keita melengkapkan senarai calon bagi anugerah kali ini.

Aubameyang muncul pemain Afrika pertama menguasai carta penjaring terbanyak Bundesliga dengan menjaringkan 31 gol musim lalu.

Keita yang sudah menandatangani kontrak untuk menyertai Liverpool apabila tamat musim ini berjaya disenaraikan dalam pasukan terbaik Bundesliga selepas membantu kelabnya layak ke saingan Liga Juara-Juara.

Manakala Moses yang mempamerkan peningkatan prestasi sejak Chelsea dibimbing pengurus Antonio Conte menjadi tonggak utama di bahagian pertahanan untuk membantu kelabnya memenangi gelaran Liga Perdana musim lalu.

Pemenang bagi anugerah ini akan diumumkan oleh BBC pada 11 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 12:38 PM