Pemain TFC meraikan jaringan ketika saingan aksi Liga Super baru-baru ini. FOTO Ihsan TFC.
Pemain TFC meraikan jaringan ketika saingan aksi Liga Super baru-baru ini. FOTO Ihsan TFC.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kecewa dengan prestasi semasa pasukan Terengganu FC (TFC), Kelab Penyokong TFC, menuntut Terengganu Football Club Sdn Bhd dapat melakukan sesuatu bagi memulihkan kembali prestasi skuad itu pada landasan yang sebenar terutama dengan berbaki dua perlawanan lagi.

Kelab penyokong itu juga turut mengharapkan jentera serangan skuad Penyu itu lebih tajam dalam usaha untuk merobek kubu pelawat terutama berdepan juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan terakhir Penang FC di tempat lawan.

Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin
Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, bedah siasat segera perlu dilakukan bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik dalam misi untuk mengintai peluang di kedudukan kedua Liga Super sekali gus layak secara automatik ke pentas Piala AFC musim depan selepas kecewa pada tahun ini kerana saingan itu dibatalkan.

"Prestasi pasukan TFC sejak kebelakangan ini dilihat agak merudum dan tidak begitu konsisten, situasi ini mungkin disebabkan ketiadaan kapten, Carli de Murga di bahagian pertahanan kerana pemain kacukan Filipina-Sepanyol itu banyak menghalang pergerakan jentera serangan daripada pihak lawan.

"Malah Murga sebelum ini dilihat banyak membantu pasukan dan kepimpinannya sangat bagus, namun disebabkan kecederaan dia tidak dapat diturunkan ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) minggu lalu dan terbaharu ketika bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City FC) Ahad lalu.

"Manakala prestasi jentera serangan pula dilihat agak tumpul dan tidak berfungsi dengan baik seperti sebelum ini, situasi itu jelas tidak disenangi penyokong yang begitu kecewa dengan prestasi penyerang import dari Brazil, David Da Silva kerana dia beraksi bukan pada tahap yang sebenar sebagaimana ketika bermain dalam liga Indonesia sebelum menyarung jersi TFC musim ini.

"Banyak peluang yang sepatutnya berakhir dengan jaringan gagal disudahkan dengan baik terutama pada dua aksi penting menentang Kedah dan Penang sebelum ini," katanya.

Ketika ditanya peluang TFC untuk kembali menghuni di tangga kedua liga, beliau akui agak sukar, namun masih percaya pasukan kendalian Nafuzi Zain itu mampu melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 6:30 PM