Chelsea menewaskan Manchester City pada aksi final Liga Juara-Juara musim lalu. FOTO Agensi
Chelsea menewaskan Manchester City pada aksi final Liga Juara-Juara musim lalu. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Lima pemain Chelsea berada dalam senarai terbaik untuk memenangi anugerah individu dan Pemain Terbaik Tahunan dari pencapaian menjulang Liga Juara-Juara, musim lalu.

The Blues menjadi pasukan yang mencipta kejutan dalam kejohanan dan bangkit memenangi kejuaraan di bawah kendalian Thomas Tuchel ketika berdepan Manchester City dalam aksi final.

Seperti kebiasaannya, pemenang kejuaraan berada dalam senarai pilihan bagi memenangi anugerah setiap posisi di atas padang.

Edouard Mendy menggantikan tempat Kepa Arrizabalaga berjaya disenaraikan bersama-sama Thibaut Courtois dan Ederson.

Di barisan pertahanan, Cesar Azpilicueta dan Antonio Rudiger menyertai tonggak City, Ruben Dias. Di barisan tengah pula, Jorginho dan N'Golo Kante berpeluang bersaing bersama Kevin de Bruyne.

Sementara penyerang, Erling Haaland, Robert Lewandowski dan Kylian Mbappe semuanya bersaing bagi anugerah itu.

Pengiktirafan itu adalah yang pertama dibawakan oleh Uefa pada musim 2016/17 untuk mengiktiraf pemain dalam setiap posisi pada saingan Liga Juara-Juara.

Nama mereka akan diumumkan disamping Pemain Terbaik Tahunan Lelaki dan Wanita Uefa ketika undian peringkat kumpulan di Istanbul pada 26 Ogos ini.

Pemain Terbaik Tahunan Liga Europa juga kemudiannya diumumkan hari berikutnya apabila undian kejohanan dilakukan.

Seramai 32 jurulatih daripada Liga Juara-Juara musim lalu dan 55 wartawan dipilih oleh kumpulan European Sports Media bagi memilih calon terbabit.

Pengurus adalah dilarang untuk mengundi mana-mana pemain daripada pasukan mereka sendiri.

Juara tahun lalu, Bayern Munich berjaya memenangi tiga daripada empat pencalonan membabitkan anugerah itu.

Manuel Neuer, Joshua Kimmich dan Robert Lewandowski memenangi kategori masing-masing sementara Kevin de Bruyne memenangi gelaran pemain tengah terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 9:48 PM