Pemain Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada perlawanan Piala Malaysia. FOTO File NSTP
Pemain Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada perlawanan Piala Malaysia. FOTO File NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC yang gagal merebut tempat ke suku akhir Piala Malaysia musim ini mahu menamatkan saingan piala berprestij itu dengan kemenangan apabila berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Justeru, penyerang skuad Tok Gajah, Abdul Malik Mat Ariff mahu rakan sepasukan memastikan Sri Pahang beroleh kemenangan sekali gus mengubati kekecewaan gagal ke suku akhir piala berkenaan musim ini.

"Biarpun kami gagal ke suku akhir musim ini, perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A berdepan KL City diharap berakhir dengan kemenangan.

"Perasaan kecewa diharap ditebus dengan mempamerkan prestasi terbaik biarpun ia tidak membantu kerana KL City dan Sarawak United sudah layak ke suku akhir.

"Tetapi kami tidak akan memberikan peluang kepada KL City kerana mahu memastikan pasukan ini mengutip tiga mata pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan," katanya.

Abdul Malik yang menjaringkan tiga gol pada saingan Piala Malaysia musim ini juga mahu menambah jaringan peribadi dalam usaha membantu Sri Pahang menewaskan KL City.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 2:44 PM