DOLLAH amat gembira dengan komitmen semua pemain yang berjaya mempamerkan prestasi yang diinginkan sejak menjalani latihan berpusat. FOTO NSTP
DOLLAH amat gembira dengan komitmen semua pemain yang berjaya mempamerkan prestasi yang diinginkan sejak menjalani latihan berpusat. FOTO NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh gembira dengan prestasi dan komitmen semasa pemainnya menjelang perlawanan menentang Melaka United di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, perasaan itu hadir ketika beliau mahu menyenaraikan kesebelasan terbaik selepas saingan Liga Super berehat lebih dua bulan.

"Ketika ini, saya akui amat gembira dengan komitmen semua pemain yang berjaya mempamerkan prestasi yang diinginkan sejak menjalani latihan berpusat atau 'camp based training' fasa kedua di Pekan.

"Mereka memberikan segala-galanya untuk memastikan Sri Pahang dapat mempamerkan persembahan terbaik terutama melakar kemenangan apabila berdepan Melaka United.

"Biarpun terpaksa membuat penilaian teliti sebelum perlawanan Ahad ini, saya bangga kerana semua pemain mahu berada dalam skuad utama.

"Sikap sebegini akan menjadikan Sri Pahang berada pada prestasi terbaik dalam mengharungi baiki saingan Liga Super musim ini," katanya.

Justeru, Dollah berkata, skuad Tok Gajah yang 'berkampung' di Pekan sejak 6 Julai lalu mengharapkan perubahan dalam kedudukan liga.

"Saya percaya dengan semangat dan kesungguhan yang dipersembahkan pemain terutama sepanjang latihan, semua pemain mampu mencapai misi berkenaan.

"Apa yang perlu dilakukan ialah mengekalkan disiplin sepanjang perlawanan untuk memastikan setiap perlawanan berakhir dengan kemenangan," katanya.

Selepas 13 perlawanan, skuad Tok Gajah itu berada di kedudukan kesembilan liga dengan mengutip 12 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 5:58 PM