Messi (kiri) dan Koeman tidak berdepan sebarang masalah. FOTO Agensi
Messi (kiri) dan Koeman tidak berdepan sebarang masalah. FOTO Agensi
Agensi

BOS Barcelona, Ronald Koeman menegaskan dia mempunyai hubungan baik dan tidak berdepan apa-apa masalah dengan Lionel Messi.

Messi bintang antarabangsa Argentina sebelum ini memaklumkan kelab Catalan itu bahawa dia mahu meninggalkan kelab berkenaan sebelum mengubah keputusannya.

Dia kini perlu kekal di Camp Nou sehingga sekurang-kurangnya penghujung musim 2020-21.

Apabila ditanya mengenai hubungan dengan pemain berusia 33 tahun itu, Koeman menjelaskan dia tiada masalah dengan pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu sebaliknya isu hanya timbul membabitkan perkara antara Messi dan kelab itu sahaja.

"Saya menaruh keyakinan kepada semua pemain. Isu utama adalah membabitkan konflik antara Messi dan kelab. Saya sudah bercakap dengan Messi sejak tiba di sini dan akan menjalankan tugas saya seperti biasa."

Kemelut timbul selepas Barca terlepas kejuaraan La Liga musim lalu daripada seteru utama mereka Real Madrid disusuli kekalahan memalukan 2-8 ke atas Bayern Munich pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara sehingga Messi tampil memberikan pelbagai alasan dan mula bosan dengan keadaan yang berlaku di dalam dan luar kelab itu.

Messi meledak 31 gol dan pembantu jaringan sebanyak 26 kali dalam 44 penampilan di peringkat kelab itu musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 11:43 PM