PEMAIN pertahanan England, Kieran Trippier (tengah) bersama Harry Maguire (kanan) memeriksa keadaan padang di Wembley sebelum perlawanan separuh akhir dengan Denmark, semalam. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan England, Kieran Trippier (tengah) bersama Harry Maguire (kanan) memeriksa keadaan padang di Wembley sebelum perlawanan separuh akhir dengan Denmark, semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Kieran Trippier berkata, England belajar daripada pengalaman pahit selama tiga tahun untuk mempamerkan prestasi hebat ketika menewaskan Denmark di separuh akhir Euro 2020, semalam.

Trippier menjaringkan gol pembukaan di separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia itu, sebelum Three Lions tewas 1-2 kepada Croatia pada masa tambahan.

Barisan pemain Gareth Southgate kemudian mengubah sejarah ketika menentang Denmark apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 dan melangkah ke final bertemu Itali di Wembley, Ahad ini.

Trippier berkata: "Banyak yang kami belajar sejak beberapa tahun lalu dan berbekalkan pengalaman itu, kami berada dalam dua penentuan sepakan penalti dan dua kali masa tambahan.

"Melalui tempoh sukar ketika menentang Croatia menjadi proses pembelajaran terbaik.

"Ia berkaitan pengalaman dan pengurusan perlawanan. Tidak buat silap kerana Denmark memang pasukan bagus dan luar biasa.

"Sejak separuh akhir di Russia itu, kami sudah melangkah jauh. Kami memiliki ramai pemain bagus sekarang, berbeza dengan skuad sebelum ini.

"Ia berkaitan dengan peningkatan dan saya fikir kami sudah melangkah jauh sejak Piala Dunia," katanya.

Trippier berkata, sejak permulaan Euro 2020, pasukan memberikan aksi terbaik, tidak berhenti, tidak panik dan sentiasa tenang.

Katanya, mereka membuktikannya ketika menentang Denmark dengan ketahanan serta kerjasama dalam pasukan memang luar biasa.

Southgate menggunakan keseimbangan pasukan untuk menekan Denmark sehingga mereka menghadiahkan penalti penting yang disempurnakan kapten, Harry Kane sebelum mereka menguasai permainan hingga musim penamat.

Sekalipun dikeluarkan selepas dimasukkan pada babak kedua, Jack Grealish bersama Phil Foden, Jordan Henderson dan Trippier memainkan peranan penting untuk memastikan England mara kali pertama ke final kejohanan utama dalam tempoh 55 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 2:22 AM