KAPTEN England, Harry Kane (kanan) bersama Raheem Sterling pada sesi latihan menjelang aksi separuh akhir bertemu Denmarkdi Wembley, malam esok. FOTO AFP
KAPTEN England, Harry Kane (kanan) bersama Raheem Sterling pada sesi latihan menjelang aksi separuh akhir bertemu Denmarkdi Wembley, malam esok. FOTO AFP
AFP

London: Harapan dan keyakinan England mampu muncul juara Euro 2020 semakin memuncak kerana selain menjadi tuan rumah separuh akhir dan final, mereka melangkah dalam kelompok empat terakhir tanpa dibolosi lawan.

England yang akan menentang Denmark dalam satu lagi aksi separuh akhir di Wembley malam esok, akan bertemu pemenang aksi Itali dan Sepanyol, hari ini.

Anak buah Gareth Southgate mengimpikan untuk mara ke final kejohanan utama buat kali pertama sejak menang Piala Dunia 1966 di Wembley.

Bagaimanapun, aksi separuh akhir bukanlah kenangan indah buat England termasuk tewas di tangan Croatia di Piala Dunia 2018 di Moscow.

"Kami mungkin lebih yakin dan percaya menjelang perlawanan dengan Denmark, berbanding ketika turun menentang Croatia," kata kapten Manchester United, Harry Maguire.

"Ketika itu, pasukan kebangsaan kami sudah lama tidak layak ke separuh akhir, jadi keyakinan memang kurang. Saya pasti, peminat dan pemain lebih yakin sekarang."

Denmark pula menikmati kisah dongeng selepas bermula dengan trauma apabila Christian Eriksen rebah di padang akibat serangan jantung pada perlawanan sulung menentang Finland di Copenhagen.

"Kami memiliki sokongan hebat di England dan sebelum ini, kami dianggap pasukan kedua pilihan penyokong mereka.

"Tetapi kali ini, kami akan menjadi musuh mereka," kata pemain pertahanan Denmark, Andreas Christensen, yang bermain untuk Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 8:49 PM