DEPAY (kiri) meraikan jaringannya. FOTO EPA
DEPAY (kiri) meraikan jaringannya. FOTO EPA
AFP

Amsterdam: Jaringan Memphis Depay menerusi sepakan penalti di awal permainan membantu Belanda melakar kemenangan 2-0 ke atas Austria di Amsterdam hari ini, kemenangan kedua berturut-turut mereka di saingan Euro 2020 sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir dari Kumpulan C.

Depay memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya minit ke-11 selepas David Alaba mengasari Denzel Dumfries.

Dumfries yang mempamer aksi cemerlang ketika Belanda menewaskan Ukraine 3-2 pada aksi pembukaan, menambah gol kedua pada pertengahan babak kedua sekali gus gol keduanya pada saingan itu.

"Paling penting bukanlah prestasi saya, sebaliknya tiga mata penuh untuk pasukan. Kami berjaya mencipta peluang dan berhak untuk memenangi perlawanan ini," kata Dumfries.

Belanda dilihat selesa beraksi di halaman sendiri di Johan Cruyff Arena dan anak buah Frank de Boer setakat ini sudah menunjukkan kejayaan pada penampilan pertama mereka di kejohanan utama sejak Piala Dunia 2014.

Ia berita baik untuk De Boer yang menggantikan Ronald Koeman yang kini membimbing Barcelona dan berada di stadium menyaksikan perlawanan berkenaan.

Belanda kini mengumpul enam mata dan hanya memerlukan satu mata untuk muncul juara kumpulan apabila betemu Macedonia Utara pada perlawanan terakhir.

Mereka perlu meningkatkan prestasi jika mahu melangkah lebih jauh namun barisan pemain dilihat selesa dengan formasi 3-5-2 yang diterapkan oleh De Boer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 5:49 AM