CHENG Hoe ketika sesi latihan skuad kebangsaan semalam. FOTO FAM
CHENG Hoe ketika sesi latihan skuad kebangsaan semalam. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Benteng pertahanan Vietnam amat sukar untuk ditembusi mana-mana pasukan sejak lima tahun lalu atau lebih tepat sejak pengendalinya, Park Hang-seo mengambil alih pasukan pada 2017.

Malah, berdasarkan statistik bolos dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika ini, skuad Naga Emas hanya dibolosi sekali daripada enam aksi berbanding Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Malaysia dan Indonesia yang sudah dibocori sekurang-kurangnya dengan lima gol ke atas.

Kemantapan tembok ampuh Vietnam itu pastinya bakal memberi tugas berat buat rangkaian jentera hadapan skuad Harimau Malaya yang wajib memburu kemenangan ke atas anak buah Hang-seo itu apabila kedua-duanya turun beraksi di Stadium Al Maktoum, Dubai, Sabtu ini.

Begitupun, mungkin ada sedikit kelegaan buat Malaysia menjelang pertemuan hidup mati itu apabila pengendali dari Korea Selatan itu dilihat menyenaraikan penjaga gol yang kembali daripada persaraan, Bui Tan Truong untuk baki kempen kelayakan ini.

Bukan mahu merendahkan keupayaan Tan Truong, namun berdasarkan rekod 11 tahun lalu, penjaga gol Hanoi FC itu mempunyai badi atau sejarah 'malang' setiap kali menentang Malaysia sebelum ini.

Dua kali berdepan skuad negara iaitu kali pertama pada final Sukan Sea 2009, Tan Truong dicekik oleh jurulatihnya, Henrique Calisto selepas berakhir perlawanan di bangku simpanan ekoran kesilapannya melepaskan gol mudah buat menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada Malaysia ketika itu.

Episod sama berulang sekali lagi di separuh akhir pertama Piala AFF 2010, apabila dua kali dia gagal menampan kemas percubaan pemain negara yang menyaksikan anak buah Datuk K Rajagopal menewaskan Vietnam 2-0 di Bukit Jalil.

Kini Tan Truong sudah menjangkau usia 35 tahun kembali memperkuatkan pasukan dan aksi menentang Malaysia pastinya sedikit sebanyak mengganggu psikologi penjaga gol itu. Bagaimanapun, pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menganggap ia sebagai kelebihan namun mengakui peluang menerusi kesilapan itu boleh berlaku sekiranya penjaga gol itu hilang fokus.

Ditanya adakah beliau akan memberi penekanan lebih dalam aspek rembatan pada sesi latihan, Cheng Hoe yang turut berada dalam skuad 2009 dan 2010 sebagai penolong jurulatih kepada Rajagopal itu percaya Tan Truong kini lebih matang.

"Saya rasa dia (Tan Truong) dah berada pada satu tahap terbaik, saya rasa penjaga gol selalunya apabila banyak perlawanan dan berumur, kita nampak lebih ketenangan dari segi menjaga gawang.

"Jadi kita tak boleh anggap 10 tahun lalu dia akan buat kesalahan itu (ulangi) untuk kita mudah dapatkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 10:22 PM