MARTINEZ tidak mahu terlalu memikirkan untuk membariskan De Bruyne pada aksi sulung Euro 2020. FOTO AFP
MARTINEZ tidak mahu terlalu memikirkan untuk membariskan De Bruyne pada aksi sulung Euro 2020. FOTO AFP
AFP

Tubize: Kevin De Bruyne menyertai skuad Belgium awal pagi tadi namun masih lagi menjadi tanda tanya adalah dia akan beraksi pada perlawanan pembukaan Euro 2020 selepas menjalani pembedahan kecil di bahagian muka.

"Kevin De Bruyne sudah menyertai skuad dan ia adalah berita yang menggembirakan. Dia kelihatan sudah bersedia, cergas dan melihat dia berjalan ke dewan makan adalah berita yang sangat dinanti-nantikan," kata jurulatih Roberto Martinez.

Perancang Manchester City itu melalui pembedahan kecil di mukanya Sabtu lalu selepas mengalami keretakan di hidung dan soket mata kiri akibat bertembung dengan pemain Chelsea, Antonio Rudiger dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 30 Mei lalu.

Martinez mengakui De Bruyne mesti bergelut untuk mempersiapkan diri menentang Russia di Saint Petersburg bagi aksi pertama Belgium dalam Kumpulan B.

"Dia akan bersama bahagian perubatan untuk tempoh beberapa hari dan selepas mendapat lampu hijau barulah dia menyertai pasukan.

"Buat masa ini saya tidak mengharapkan Kevin untuk beraksi di perlawanan pertama namun jika ada perubahan mungkin disebabkan dia berjaya mengadaptasi dengan baik program pemulihannya," kata Martinez.

Belgium yang akan berkunjung ke Saint Petersburg Jumaat ini, juga berdepan Copenhagen pada 18 Jun dan Finland pada 22 Jun.

Semalam De Bruyne menjadi pemain ketiga untuk memenangi anugerah pemain terbaik Persatuan Pemain Profesional England (PFA) buat musim kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 10:40 AM