Agensi

Rome: Cristiano Ronaldo memenangi Anugerah Penyerang Terbaik Serie A selepas muncul penjaring terbanyak dengan 29 gol dalam 33 penampilan bersama Juventus musim ini.

Pemain berusia 36 tahun itu mengatasi Romelu Lukaku yang menduduki tempat kedua selepas meledak 24 gol dan Zlatan Ibrahimovic yang menjaringkan 15 gol di tempat ketiga.

Manakala Gianluigi Donnarumma yang masa depannya bersama Milan masih kabur selepas kontrak hampir tamat dipilih penjaga gol terbaik.

Tiada penjaga gol lain beraksi lebih perlawanan berbanding Donnarumma yang berusia 22 tahun (37) manakala rekod bersih tanpa dibolosi dalam 14 perlawanan menyamai pencapaian penjaga gol Inter, Samir Handanovic.

Cristian Romero dipilih pertahanan terbaik selepas cemerlang bersama Atalanta musim ini manakala pemain antarabangsa Itali, Nicolo Barella memenangi anugerah pemain tengah terbaik.

Barella beraksi 36 perlawanan bersama Inter Milan dengan meledak tiga gol dan melakukan tujuh bantuan jaringan dan secara puratanya, dia mencipta 1.46 peluang dalam 90 minit.

Dusan Vlahovic pula dipilih pemain terbaik bawah 23 tahun Serie A selepas menjaringkan 21 gol bersama Fiorentina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 8:28 AM