TUCK (kanan) ketika sesi latihan. FOTO Ihsan TFC
TUCK (kanan) ketika sesi latihan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas hampir setengah tahun tidak bersama pasukan Terengganu FC (TFC), bekas arkitek skuad itu, Lee Tuck akui teruja dapat kembali berguru dengan barisan kejurulatihan TFC.

Lebih menggembirakan pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu apabila dia dapat berlatih bersama dengan rakan sepasukannya yang dikenalinya sejak menyarung jersi skuad Penyu bermula 2018 hingga 2020.

"Saya begitu gembira dapat kembali semula berlatih dengan rakan sepasukan dan juga kembali mendapat bimbingan barisan jurulatih TFC walaupun beberapa pemain sudah tidak bersama lagi pasukan.

"Pertama kali turun berlatih kelmarin saya mendapat sambutan yang baik daripada pemain dan juga pihak pengurusan termasuk barisan jurulatih, lebih menceriakan kem pasukan kini adanya wajah baharu termasuk pemain import seperti David Da Silva, Makan Konate, Carli De Murga dan pemain tempatan dalam pasukan.

"Suasana latihan juga cukup bagus dan semakin baik serta lancar, jadi saya memandang ke depan dalam misi untuk membantu pasukan mara lebih jauh dalam saingan Piala AFC musim ini selain baki Liga Super dan Piala Malaysia," katanya hari ini.

Awal musim ini, pemain berusia 33 tahun itu yang digelar 'Rooney Ganu' memilih Sri Pahang sebagai destinasinya, namun kelibatnya bersama pasukan Tok Gajah itu tidak bepanjangan apabila diketepikan pada jendela kedua perpindahan pemain bersama tiga lagi tonggak import.

Walaupun beberapa pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya, namun pemain yang sudah membuat 57 penampilan bersama skuad Penyu dengan meledak 23 gol sejak 2018 hingga musim lalu lebih berminat untuk menyarung jersi bekas pasukannya itu.

Selain Tuck yang dibawa masuk secara pinjaman daripada Sri Pahang, TFC bakal memperkenalkan pemain dari Bahrain, Habib Haroun bagi memperkasakan lagi jentera tengah pasukan itu manakala bekas kapten UKM FC, Asnan Ahmad dilepaskan kepada pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC).

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, setakat ini pihak pengurusan tidak bercadang untuk membawa masuk pemain tempatan lain selain dua pemain import berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 5:43 PM