PEMINAT City lebih bersemangat untuk menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara. FOTO AFP
PEMINAT City lebih bersemangat untuk menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

London: Pemilik Manchester City, Sheikh Mansour akan membayar kos perjalanan penyokong ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Portugal hujung bulan ini.

City menerima peruntukan sebanyak 6,000 tiket untuk aksi final 30 Mei ini menentang Chelsea di Porto dan Sheikh Mansour berkata, kesemua kos perjalanan melalui pakej rasmi akan ditanggung sepenuhnya.

Peminat hanya dibenarkan untuk berada di negara berkenaan dalam tempoh 24 jam tertakluk kepada keputusan negatif ujian Covid-19.

"Ribuan penyokong City akan mendapat kelebihan daripada inisiatif berkenaan untuk mengurangkan masalah kewangan yang dihadapi peminat mereka dan berdepan saat mencabar disebabkan impak pandemik Covid-19.

"Covid-19 menyebabkan kos melambung tinggi, dicampur pula dengan ujian PCR yang mahal tapi diwajibkan. Ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk pergi menyaksikan perlawanan akhir namun mereka agak bertuah kerana layak memperoleh tiket.

"Oleh kerana ada sekatan berkaitan Covid-19 majoriti peminat yang ingin menghadiri final pertama bersejarah untuk pasukan, diminta mematuhi peraturan berada di negara berkenaan selama 24 jam dan ini bermakna kos perjalanan mereka akan ditanggung pemilik kelab," kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 11:16 PM