PENYOKONG Eintracht Frankfurt berkumpul di bandar Naples sebelum bertempur dengan polis. FOTO Reuters
PENYOKONG Eintracht Frankfurt berkumpul di bandar Naples sebelum bertempur dengan polis. FOTO Reuters
AFP

Naples: Penyokong Eintracht Frankfurt bertempur dengan polis selepas tiba di Naples walaupun tidak mempunyai tiket untuk perlawanan Liga Juara-Juara membabitkan pasukan mereka menentang Napoli.

Rakaman yang disiarkan oleh media Itali menunjukkan ratusan penyokong kelab Jerman itu membaling bom asap dan suar ke arah polis, yang bertindak balas dengan gas pemedih mata.

Sebuah kereta polis turut dibakar ketika kerusi, botol, dan tiang besi juga dibaling oleh penyokong berpakaian serba hitam.

Datuk Bandar Naples, Gaetano Manfredi mengecam perlakuan yang disifatkannya sebagai 'perang bandar' dan merayu untuk bertenang.

Media Itali melaporkan bahawa peminat Eintracht dipindahkan dari pusat bandar dengan bas tiga jam sebelum sepak mula, manakala suasana di sekitar Stadio Maradona tenang.

Mereka berkunjung ke selatan Itali walaupun Eintracht memutuskan untuk tidak menjual tiket untuk perlawanan kedua di tempat lawan.

Eintracht tidak mengambil peruntukan mereka selepas wilayah Naples memutuskan melarang peminat Frankfurt daripada membeli tiket untuk perlawanan itu.

Keganasan tercetus pada perlawanan pertama yang dimenangi 2-0 oleh Napoli di Frankfurt, menyebabkan sembilan orang ditahan.

Penyokong Eintracht berada di bawah pengawasan rapi oleh badan induk Eropah, UEFA sejak pencerobohan padang yang menyambut kelab itu mara ke final Liga Europa, sebelum menang menewaskan Rangers.

Mereka juga bertempur dengan peminat Marseille pada September, dengan kedua-dua kumpulan penyokong membaling bom asap ke arah satu sama lain dan seorang peminat Eintracht cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 11:42 AM