BARISAN pemain Man City meraikan kejayaan menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
BARISAN pemain Man City meraikan kejayaan menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

London: Manchester City dan Chelsea akan bertembung pada final Liga Juara-Juara hujung bulan ini namun kedua-duanya bakal bertemu lebih awal pada aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.

City boleh mengesahkan kejuaraan liga kali kelima dalam tempoh 10 tahun jika mencatatkan kemenangan sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pasukan bola sepak Inggeris paling dominan sejak sedekad lalu.

Chelsea pula di bawah transformasi Thomas Tuchel menyaksikan kelab itu melangkah ke pentas final Liga Juara-Juara buat kali ketiga sejak diambil alih oleh Roman Abramovich pada 2003.

Bagaimanapun, Blues memulakan kempen liga dengan perlahan ketika di bawah bimbingan Frank Lampard dengan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan masih belum terjamin.

Skuad bimbingan Tuchel menduduki tangga keempat Liga Perdana, mempunyai kelebihan tiga mata berbanding pencabar terdekat, West Ham.

Chelsea menamatkan impian City untuk memburu empat piala apabila kedua-dua pasukan bertemu kali terakhir tiga minggu lalu di separuh akhir Piala FA.

Bagaimanapun kemenangan 1-0 Chelsea di Wembley adalah disebabkan skuad bimbingan Pep Guardiola lebih memberi tumpuan kepada kempen Liga Juara-Juara ketika itu.

Kedua-dua pengurus boleh melakukan beberapa pertukaran pemain pada minggu ini selepas masing-masing mengetepikan Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid pertengahan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 11:12 AM