Pemain KDA FC, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin selepas mengasak pemain TFC dengan keras pada Perlawanan Liga Super.
Pemain KDA FC, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin selepas mengasak pemain TFC dengan keras pada Perlawanan Liga Super.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Digantung empat perlawanan termasuk denda RM10,000 adalah harga yang perlu dibayar oleh pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam berikutan kekasaran yang dilakukan terhadap pengadil pada pertemuan menentang Terengganu FC (TFC) awal April lalu.

Namun, Fadzrul tidak berseorangan apabila rakan sepasukannya Rodney Celvin Akwensivie turut 'mengiringi' pemain terbabit apabila turut dikenakan hukuman namun lebih ringan iaitu hanya membabitkan penggantungan dua perlawanan saja.

Keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ketiga bagi penggal 2021-2025 hari ini mencapai kata sepakat selepas melakukan siasatan secara menyeluruh.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Che Mokhtar Che Ali berkata, Fadrul didapati melanggar 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pegawai pertandingan pada perlawanan Liga Super iaitu KDA FC menentang TFC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 9 April lalu.

"Rodney pula didapati melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan pada perlawanan yang sama," katanya, dalam kenyataan kepada media.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pegawai pasukan TFC tidak terlepas daripada hukuman apabila mereka perlu membayar denda kira-kira RM20,000 akibat daripada tindakan mereka yang berkelakuan tidak wajar kerana mengugut atau mengganggu kumpulan pengadil semasa dan selepas perlawanan sehingga memerlukan campur tangan pihak polis.

Perlawanan membabitkan Sabah FC menentang TFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 21 Mac lalu itu turut mencetuskan ketegangan antara pemain pasukan pelawat dan barisan pengadil.

"Pegawai pasukan TFC juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," katanya.

Namun, Pengurus pasukan TFC Zul Fadli Rozi boleh dikatakan paling malang apabila digantung empat perlawanan dan terpaksa pula membayar denda RM10,000.

"Bagi pertuduhan pertama, Zul Fadli ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil perlawanan.

Beliau telah mengeluarkan kata-kata kesat ke arah Pengadil Perlawanan atau kumpulan Pengadil Perlawanan.

"Bagi pertuduhan kedua, beliau dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak menunjukkan semangat kesukanan terhadap pengadil perlawanan beliau cuba menyerang kumpulan pengadil perlawanan yang ingin masuk ke bilik persalinan," katanya.

Seorang lagi pegawai TFC Mohd Shukri Che Zakaria dikenakan denda RM5,000 dan penggantungan dua perlawanan berikutan tindakannya yang berkelakuan tidak menunjukkan semangat kesukanan apabila mengeluarkan kata-kata kesat ke arah Penolong Pengadil 1, Mohd Junaidy Abd Samad semasa perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 10:00 PM