PENYOKONG Liverpool pada awalnya berang dengan keputusan Henry. FOTO Agensi
PENYOKONG Liverpool pada awalnya berang dengan keputusan Henry. FOTO Agensi
AFP

London: Jurgen Klopp mendakwa pemilik Liverpool bukan orang yang jahat walaupun membuat 'keputusan bodoh' berkaitan pembabitan dengan projek Liga Super Eropah (ESL).

Klopp tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada pemilik kelab, John Henry berikutan keputusan untuk menyertai kejohanan itu yang dilihat membelakangi pengurus kelab 'big six' Liga Perdana Inggeris (EPL).

ESL runtuh dalam tempoh 48 jam selepas ia diwujudkan apabila Liverpool dan lima lagi pasukan membuat pusingan U apabila penyokong berang dengan penyertaan kelab masing-masing.

Klopp tidak bersetuju dengan perancangan itu awal minggu ini tetapi semalam dia enggan mengkritik pemilik kelab disebabkan pembabitan dalam kejohanan itu.

Henry, pemilik Fenway Sports Group (FSG) juga memiliki kelab besbol Boston Red Sox, memohon maaf kerana pembabitan dalam ESL menerusi Twitter kelab Rabu lalu.

Klopp ditanya dalam sidang media semalam sama ada Henry sudah menghubunginya untuk meminta maaf.

"Saya tidak rasa ia perlu kerana nama saya sudah disebut dalam permohonan maaf. Itu sudah cukup buat saya.

"Jika mereka bercakap dengan saya sebelum itu, saya pasti akan memberitahu mereka 'Jangan, ia bukan idea yang bagus'.

"Saya boleh beritahu anda yang saya kenal dengan pemilik, mereka bukan sempurna sama seperti saya dan juga awak, tapi mereka bukanlah orang yang jahat. Mereka membuat keputusan yang silap, itu betu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 9:52 AM