KLOPP perlu rancang strategi terbaik berdepan Madrid. FOTO AFP
KLOPP perlu rancang strategi terbaik berdepan Madrid. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Dalam misi mencipta satu lagi kebangkitan hebat di Liga Juara-Juara, Liverpool tidak boleh hanya bergantung kepada sokongan padu penyokong ketika menentang Real Madrid pada Khamis ini.

Jika juara Inggeris itu mahu mara ke separuh akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun, mereka tetap perlukan pengurus, Jurgen Klopp untuk meningkatkan motivasi selepas tewas 1-3 pada aksi suku akhir pertama dan merancang taktikal terbaik berdepan gergasi Sepanyol itu.

Klopp menjadi sanjungan di Merseyside selepas membawa Liverpool menjulang trofi Piala Eropah keenam dan gelaran liga pertama dalam tempoh 30 tahun.

Tetapi pengendali dari Jerman itu gagal mengelak kemerosotan prestasi Reds musim ini. Dengan berbaki tujuh perlawanan di Liga Perdana, adalah mustahil untuk Liverpool mengekalkan gelaran selepas ketinggalan 22 mata di belakang City dan menduduki tangga kelima.

Harapan untuk menebus duka di kempen Liga Juara-Juara turut sukar selepas Real mengamuk dalam tempoh 45 minit pertama di Madrid minggu lalu.

Defisit Liverpool tidak seteruk ketika kunjungan Barcelona dua tahun lalu dalam aksi separuh akhir yang kemudiannya menjadi malam gemilang di Anfield selepas bangkit dengan kemenangan 4-0.

Tetapi Klopp memberi amaran mereka berdepan tugas lebih sukar di stadium kosong akibat peraturan ketat koronavirus.

"Jika anda mahukan memori penuh emosi, anda perlu lihat aksi menentang Barcelona dan 80 peratus perlawanan itu adalah atmofera dalam stadium dan ya, kami akan melakukannya tanpa suasana itu,'' kata Klopp.

Selain beraksi tanpa penyokong, krisis kecederaan turut menjadi penyumbang utama nasib malang Liverpool musim ini. Virgil van Dijk, Jordan Henderson, Joe Gomez dan Joel Matip sekali lagi tidak beraksi manakala musim pertama Thiago Alcantara dan Diogo Jota turut terjejas selepas berehat panjang akibat masalah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 11:14 AM