HOLES (kiri) meraikan jaringan penyamaannya untuk Slavia. FOTO AFP
HOLES (kiri) meraikan jaringan penyamaannya untuk Slavia. FOTO AFP
AFP

London: Slavia Prague mencuri satu gol di tempat lawan pada masa kecederaan ketika bertemu Arsenal untuk meraih keputusan seri 1-1 pada aksi suku akhir pertama Liga Europa, hari ini.

Pemain gantian Nicolas Pepe memecahkan kebuntuan apabila menjaringkan gol untuk Arsenal minit ke-86 selepas kelab itu terlepas beberapa peluang terbaik ketika beraksi di halaman sendiri.

Bagaimanapun tandukan Tomas Holes pada masa kecederaan memusnahkan impian skuad bimbingan Mikel Arteta sekali gus menyaksikan saingan kembali terbuka pada suku akhir kedua di Prague, minggu depan.

"Kami menguasai permainan, memperoleh gol yang dimahukan tetapi kami juga meletakkan diri ke belakang semula," kata Arteta kepada BT Sport.

"Kami bolos menerusi sepakan penjuru. Mereka merebahkan badan di dalam kotak penalti dan apa saja boleh berlaku selepas itu.

"Sudah pasti ia mengubah perasaan kami selepas tamat perlawanan."

Arteta berkata, keputusan menukar pemain pada lewat permainan mengubah rentak permainan namun mereka gagal memanfaatkan peluang itu.

"Mereka adalah lawan yang bagus dan memberi tentangan yang sengit. Sekarang kami perlu berkunjung ke tempat lawan dan memenangi perlawanan.

"Kami pernah melakukannya sebelum ini dan kami yakin mampu melakukannya sekali lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 7:36 AM