ALBERTO meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
ALBERTO meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Rom: Lazio mengalahkan pasukan tangga terbawah Crotone, 3-2 dalam saingan Serie A untuk dijadikan sebagai pembakar semangat sebelum berdepan Bayern Munich di Liga Juara-Juara.

Pasukan bimbingan Simone Inzaghi tumpas 1-4 kepada penyandang juara dalam perlawanan pertama 16 akhir.

Walaupun mencatat kemenangan, Lazio masih lagi menghuni tempat ketujuh Serie A, manakala Crotone berada di dasar liga dengan dibezakan tujuh mata dari zon selamat.

Penyudah sempurna oleh Sergei Milinkovic Savic pada minit ke-14 membolehkan Lazio mendahului perlawanan sebelum penyerang Nigeria, Simeon Tochukwu Nwankano menyamakan kedudukan.

Luis Alberto meletakkan Lazio di depan pada minit ke-39 sebelum Nwankano sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-50.

Bagaimanapun, pemain gantian Felipe Caicedo berjaya memastikan Lazio meraih tiga mata dengan jaringan kemenangan enam minit sebelum perlawanan tamat.

Atalanta melonjak ke kedudukan empat teratas apabila mereka mengalahkan Spezia 3-1 dengan Mario Pasalic menyumbang dua gol.

Sama seperti Lazio, Atalanta juga masih lagi dalam kerisauan untuk aksi 16 akhir Liga Juara-Juara selepas tumpas 0-1 kepada Real Madrid dalam perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 9:41 AM