ALVES (tengah) ledak satu gol ketika Juve atasi Lazio 2-0.
ALVES (tengah) ledak satu gol ketika Juve atasi Lazio 2-0.

Rome: Dani Alves dan Leonardo Bonucci menjaringkan gol ketika membantu Juventus muncul juara Piala Itali buat kali ketiga berturut-turut dengan mengalahkan Lazio 2-0 di Stadio Olimpico, kelmarin.

Juventus yang menjulang Serie A dan Piala Itali sejak dua musim lalu, mampu memenangi gelaran juara liga buat kali keenam berturut-turut serta rekod kejuaraan berganda buat kali ketiga jika menang ke atas Crotone, Ahad ini.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu juga bakal berdepan Real Madrid di final Liga Juara-Juara di Cardiff, Jun nanti dan berdasarkan aksi kelmarin, banyak yang perlu diperbaiki.

Beberapa hari selepas peluang untuk merayakan kejuaraan musim ini terhalang gara-gara tewas 1-3 di tangan Roma, hingga kini Juventus masih belum dapat beraksi pada tahap terbaik.

Lazio yang kali terakhir menjulang Piala Itali pada 2013, berharap dapat mencapai kejayaan sama seperti Roma yang menghantar Juventus pulang ke Turin dengan penuh sesalan.

Selain pergerakan mereka sering disekat skuad kendalian Simone Inzaghi, Lazio turut terlepas peluang menjaringkan gol sambil sesekali langkah pemain mereka dimatikan tonggak Juve Paulo Dybala.

Lazio beroleh peluang pada minit awal permainan apabila Keita Balde menerima hantaran Sergej Milinkovic-Savic tetapi cubaan penyerang Senegal itu gagal menemui sasaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 10:47 AM